LATAR BELAKANG SEJARAH “SERTING TENGAH”
Alkisah, kata oleh orang yang empunya cerita, bahawa kawasan tersebut adalah dilingkungi oleh empat buah bukit, iaitu BUKIT BUNGA, BUKIT MEBAN, BUKIT PENARIK dan BUKIT PALONG.
Mengikut ceritanya, kira-kira dua ratus tahun yang silam, diantara bukit-bukit tersebut ada satu kawasan hutan belantara yang didiami oleh suku kaum Orang Asli yang diketuai oleh seorang TOK BATIN , kumpulan Orang Asli ini telah seia sekata menebas dan menebang kawasan hutan rimba meneroka untuk bercucuk tanam seperti ubi, keladi, keledek, padi, pisang, sekoi, jagung dan lain-lain untuk dijadikan bahan makanan.
Dalam keluarga TOK BATIN, dia mempunyai seorang isteri yang bernama GAUTING dan beberapa orang anak, dan telah menjadi kebiasaannya pada setiap hari isteri TOK BATIN pergi ke sungai kerana membasuh dan kadang kala memancing ikan. Pada suatu hari dengan tidak semena-mena hujan turun dengan lebatnya hingga menyebabkan air sungai naik ke atas tebing, tiba-tiba datang seekor ular sawa yang sangat besar mencekup dan menelan isteri TOK BATIN.
Sehingga ke petang TOK BATIN dan anak-anaknya menunggu isterinya tidak kunjung pulang, dia pun memberi tahu semua anak buahnya untuk menolong mencarikan isterinya, setelah puas mencari tiba-tiba mereka terjumpa seekor ular sawa besar sedang bergelung ditepi sungai, dengan tidak berlengah lagi mereka telah membunuh ular sawa tersebut dan terus membelah perut ular itu, didapati isteri TOK BATIN ada didalam perut ular itu dan telah pun mati. Kemudian isteri TOK BATIN telah dihanyutkan kesungai bersama ular sawa tersebut sehingga ke Titian Akar.
Selang berapa lama, kawasan tersebut telah didatangi pula oleh peneroka-peneroka Melayu dari Jempol yang diketuai oleh seorang ketua dari suku BATU HAMPAR dan isterinya dari suku BIDUANDA dan terus berkampung halaman dikawasan tersebut, seterusnya diikuti pula oleh orang-orang lain sehingga dibuka satu kawasan tanah perkuburan orang islam di BUKIT SEGUMPAL.
Berkemungkinan semperna berlakunya peristiwa isteri TOK BATIN yang bernama GAUTING yang telah mati ditelan oleh ular sawa besar dikawasan tengah hutan belantara yang diapit oleh empat buah bukit itulah maka masyarakat dikala itu mungkin mengambil semperna peristiwa yang telah berlaku kepada GAUTING dikawasan TENGAH hutan belantara antara empat bukit, maka wujudlah sebuah kampung yang dinamakan “SERTING TENGAH”.
“SUMBER JKKK KG SERTING TENGAH”